IMBAUAN peristiwa Israk dan Mikraj menjelma setiap kali tiba tarikh 27 Rejab. Rentetan peristiwa itu wajar dihayati kerana ia bukan sekadar mengisahkan perjalanan Rasulullah SAW tetapi adalah pengalaman bermakna dalam kehidupan peribadi Baginda sendiri.
Israk dan Mikraj adalah peristiwa besar yang mengandungi hikmah agung menunjukkan kekuatan Allah mencipta alam ini. Al-Quran mengabadikan peristiwa itu dalam surah al-Isra’ dan an-Najm. Ia membuktikan impak sebenar peristiwa itu yang membenarkan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan tidak mengehadkan risalah (al-Quran) yang dibawa Baginda diturunkan kepada bangsa Arab semata-mata.
Pemilihan Baginda SAW bagi mengesakan Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj adalah suatu penghormatan besar yang diberikan Allah kepada seorang Nabi yang juga Rasul terakhir.
Perjalanan Rasulullah SAW dalam peristiwa itu mencabar pemikiran manusia secara keseluruhannya. Hanya manusia yang beriman dan meyakini kekuasaan Allah saja yang dapat menerima kejadian itu sebagai kebenaran dan lambang kekuasaan Allah.
Namun tidak kurang pula yang menolaknya mentah-mentah kerana apa yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj tidak masuk dengan logik akal manusia secara lazim.
Peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj yang berlaku setahun sebelum penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah dianggap peristiwa penting kepada seluruh umat Islam. Ada sedikit khilaf dalam menentukan tarikh sebenar, tempat, bulan dan malam berlakunya peristiwa itu, tetapi ia tidak mematahkan keyakinan mukmin untuk menerima kebenaran peristiwa berkenaan.
Ulama mencapai kata sepakat sesiapa yang meragui atau tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj hukumnya adalah kafir. Ini jelas dinyatakan dalam firman Allah Taala yang bermaksud: “Maha suci Allah yang membawa hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa di Palestin yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang amat mengetahuinya.” (Surah al-Isra’, ayat 1)
Daripada riwayat sahih, diceritakan mengenai beberapa kejadian yang berlaku kepada Rasulullah SAW sebelum Baginda SAW dibawa berjalan dalam Israk dan Mikraj. Diceritakan Baginda SAW dibawa malaikat Jibril dari rumahnya ke Baitul Muqaddis. Bersama Jibril, ada bekas (bejana) yang mengandungi hikmat dan iman, lalu dimasukkan ke dalam tubuh Rasulullah SAW apabila selesai proses membelah dada dan penyucian hati dengan air zama-zam.
Kemudian, Allah membawa satu makhluk lain yang panjang dan berwarna putih serta boleh melangkah sejauh mata memandang yang dinamakan buraq. Lalu Rasulullah SAW ditemani Jibril berangkat (Israk) ke Baitul Muqaddis menaiki Buraq.
Dari Baitul Muqaddis, Baginda SAW kemudian Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh. Allah memperlihatkan pelbagai kejadian aneh dan pelik kepada Rasulullah SAW sepanjang perjalanan sebagai gambaran balasan kepada hamba-Nya yang berbuat kebaikan dan kemungkaran sepanjang kehidupan di dunia.
Peristiwa paling besar dan penting diterima Baginda SAW ialah perintah Allah supaya umatnya melakukan ibadat solat fardu. Sewaktu tiba di Sidratul Muntaha, Rasulullah SAW menerima perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya iaitu sebanyak 50 waktu sehari semalam.
Sebaik menerima perintah itu, tanpa banyak bicara Rasulullah SAW dan Jibril bersiap untuk turun ke bumi. Pada ketika itu, Baginda SAW bertemu Nabi Musa yang bertanyakan hal itu. Selepas mendengar penjelasan Rasulullah SAW, Nabi Musa berkata: “Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan itu tidak akan terdaya dilakukan umatmu ya Muhammad.”
Rasulullah SAW dan Jibril kembali menghadap Tuhan. Selepas dipohon keringanan itu, maka jumlah solat dikurangkan kepada 40 kali. Apabila berjumpa dengan Nabi Musa kembali, dia meminta Rasulullah SAW menemui Allah Taala sekali lagi supaya jumlah itu dapat dikurangkan lagi.
Beberapa kali Rasulullah berulang alik menemui Allah Taala, sehinggalah Allah mengurangkannya kepada 10 dan akhirnya menjadi 5 waktu saja. Nabi Musa masih merasakan umat Muhammad tidak akan mampu melaksanakan ibadat solat lima waktu itu tetapi Rasulullah SAW nekad untuk tidak lagi menghadap Allah Taala kerana Baginda berasa malu untuk berdepan dengan Allah.
Biarpun jumlah solat dikurangkan menjadi lima waktu saja, namun ganjaran pahala mengerjakannya tetap menyamai ibadat solat 50 waktu.
Banyak lagi peristiwa yang diperlihatkan Allah kepada Rasulullah SAW sepanjang peristiwa mikrajnya ke langit. Semoga kita dapat bermuhasabah diri, merenung, menghayati dengan sebaiknya dan mengambil iktibar daripada peristiwa itu pada bulan Rejab yang mulia ini.
Share your views...
3 Respones to "Perintah solat lima waktu peristiwa besar Israk Mikraj"
syukron atas infonya
Assalamualaikum.
Sekadar bertanya. Masjid Aqsa dibina pada tahun 705M dan runtuh beberapa kali dan siap seperti sekarang pada tahun 780M. Nabi SAW wafat pada 632M. Jadi bagaimana boleh Nabi SAW ke masjid yang belum dibina?
Tolong betulkan saya jika info saya salah. Terima kasih.
18/12/17 23:24
Saya ada pandangan berbeza dalam hal ini. Buku saya SOLATKU 50 WAKTU menjelaskannya. Boleh whatsapp saya 0194077315.
14/7/19 20:50
Catat Ulasan